Jumaat, 9 Jun 2017

CERPEN : Masalah! Saat Kau Ditimpa Masalah, Dengan Siapa Kau Sandarkan?


Datang seorang pelajar dengan muka yang penuh dengan masalah. Dia memasuki bilik guru dan mencari seorang ustaz yang dia ingin berjumpa. Itu pun ustaz, hatinya berbisik.

"Assalamualaikum ustaz" sapa pelajar tersebut sambil menghulurkan tangannya untuk salam.

"Waalaikumussalam ouh Jamil, ada apa-apa ustaz boleh bantu" ustaz menyambut tangan Jamil untuk bersalam.

"Emm ustaz kalau ada masalah kan? Pertama sekali apa yang perlu saya buat?" Jamil bertanya dengan mengharapkan dapat menyelesaikan masalahnya.

"Kalau ustaz mula-mula akan cari masjid dan iktikaf. Bila duduk di masjid kita akan tenang dan merasakan Allah sememangnya dekat dengan kita. Paling best sekali kita akan berkawan dengan malaikat. Malaikat sentiasa mendoakan kita agar diampunkan dosa selagi kita berada dalam masjid. Bila kita dah selalu pergi masjid, nanti bila kita tak datang masjid malaikat akan mencari kita di rumah dan berdoa agar kita ke masjid lagi. Ingat Allah ye, Jamil." Terang ustaz dengan panjang lebar.

Jamil berfikir sekejap. Mengimbau kenangan lama.

-----

Jamil telah menimbulkan satu masalah. Dia rasa amat bersalah dan dia rasa memang tak tenang. Dia tercari-cari.

'Apa yang perlu aku buat??'
'Argggh, serabut fikiran aku ni..'
'Macam mana nak tenang ni?'

Macam-macan soalan terjah di benak fikirannya.
Sejak itu dia asyik pergi masjid. Entah kenapa hatinya tertarik dengan masjid. Dia dapat rasa yang berlainan apabila duduk di masjid berbanding di rumah atau sekolah.

Tenang.
Aman.

Tetapi fikirannya masih tercari, adakah betul aku buat ni??

Masih lagi dalam kebuntuan. Mengharapkan ada penyelesaian secepatnya.

"Jamil" Panggil kawannya, Shafiq.

"Apa dia?" langsung tak ada semangat.

"Sinilah" tangan Shafiq memanggil Jamil.

Jamil datang dengan perlahan-lahan.

"Hah apa dia"

"Aku tau kau ada masalah kan?" tanya Shafiq.

"Haah kenapa?"

"Kau kena ingat. Allah bagi ujian, Allah bagi penyelesaiannya. Allah takkan bagi melainkan hamba-Nya mampu untuk lalui ujian itu. Ada masalah, tak tahu nak buat apa?? Allah suruh mintak kat Allah bukan duduk sorang-sorang mengharap jawapan tergolek macam tu je. Ada masalah buat solat istikharah. Mintak kat Allah, Allah bagi ujian dan Allah sahaja tahu penyelesaiannya. Allah akan ajar macam mana nak lalui ujian ni. Percaya lah" Shafiq memberikan kata semangat kepada Jamil.

Jamil rasa dirinya begitu tak disiakan oleh Allah. Semuanya bersebab. Syukur sungguh rasanya.

"Terima kasih kawan."

"No hal lah." Balas Shafiq.

Sejak itu dia mengamalkan solat sunat istikharah setiap pagi.

Hatinya terdetik untuk jumpa dengan ustaz.

-----

Betul lah apa aku buat, bisik hati Jamil.

"Terima kasih ustaz. Saya mintak diri dulu yee?"

Ustaz hanya mengangguk sahaja.

"Aku akan terus iktikaf masjid lepas ni. Aku berazam." Jamil memberikan kata semangat kepada diri sendiri.

Jamil keluar dari bilik guru dengan perasaan yang sangat puas dan tenang. Jawapan yang dicari telah pun jumpa. Tanpa sedar Jamil terlanggar seseorang apabila cuba memakai kasutnya.

"Ops maaf, tak perasan" Jamil melihat siapa gerangan orang yang terlanggar.

"Hahaha Jamil tak apa, kita kan dah biasa" Shafiq menjawab.

"Laaa Shafiq ke. Kalau aku tahu, aku langgar je terus hehe" usik Jamil.

"Hah, Jamil esok jangan lupa ada mesyuarat BADAR. Esok hari Sabtu" Shafiq mengingatkan Jamil.

"Ouh hehe, aku hampir lupa sebenarnya. Terima kasih sebab ingatkan" Jamil memaut tangannya di bahu sahabatnya. Mereka pun berlalu pergi. Menuju ke kelas.

Begitulah sahabat dunia akhirat. Berkasih sayang kerana Allah.

-----

Sudah menjadi rutin pada setiap hari Sabtu, pelajar asrama akan bermain bola sepak. Tapi berlainan pada Jamil dan Shafiq. Bukan tak mahu sertai tapi ada perkara lain yang perlu diselesaikan.

"Hah, kau dah bersiap ke?" tanya Shafiq.

"Sabarlah, kan sabar tu sebahagian daripada iman?" Jamil sengaja memberi tazkirah pagi dengan nada perlian.

"Yelah Jamil. Kau kalau bersiap macam perempuan" Shafiq berlalu keluar dari dorm.

"Eh, nak pergi mana tu?" Kelam kabut Jamil bersiap.

"Aku gerak dulu sebab kau lambat" Shafiq terus turun tangga dengan sepantasnya tanpa menghiraukan sahabatnya.

"Haduuuuh!" Jamil mengeluh. Tak apa kan sabar pun sebahagian daripada iman kan?, bisik hati Jamil. Jamil pun mengatur langkah keluar dorm menuju ke surau untuk mesyuarat BADAR.

-----

Kelihatan pelajar berjawatan BADAR sedang mengambil duduk masing-masing. Satu bulatan terbentuk yang separuhnya adalah pelajar lelaki manakala lagi separuh adalah pelajar perempuan dengan jarak yang agak jauh juga. Untuk menjaga ikhtilat sebaiknya. Meskipun mesyuarat atau perbincangan yang penting yang melibatkan lelaki dan perempuan tapi ia juga perlu patuh pada syarak.

"Bismillah, assalamualaikum warahmatuhi wabarakatuh" Jamil memulakan mesyuarat dengan ucapan salam menandakan dia menyandang ketua BADAR.

Suara menjawab salam kedengaran walau tak kuat. Masing-masing memberikan perhatian apa yang akan disampaikan oleh pemimpin mereka.

"Baiklah, pertama sekali kita patut panjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, kita masih lagi dapat hidup pada hari ni. Imam Ghazali pernah berkata, sekiranya kita masih lagi dihidupkan sebenarnya Allah nak memberi peluang kepada kita semua untuk bertaubat kepada Allah. Dosa kita terlalu banyak kalau hitungkan. Entah-entah tak terkiran dosa kita semua" mukaddimah yang disampaikan oleh Jamil.

Sudah menjadi kebiasaan mana-mana pendakwah, naqib, murabbi dan pendidik pasti akan memulakan ucapan dengan memuji kebesaran Allah dan menceritakan kebesaran Allah. Kenapa perlu mula dengan memuji Allah? Sebab untuk mendidik hati kita untuk meletakkan kebesaran Allah dalam hati kita dan mengetepikan kebesaran makhluk. Kerana Allah je yang layak untuk kita memuji, besarkan dan memuliakan.

Berlainan pula kelakuan penolong ketua BADAR, Amirah yang kelihatan acuh tak acuh je mendengar ucapan Jamil. Duduk tak senang seolah-olah ada sesuatau yang tak kena.

Jamil perasan perkara ni tapi masih tetap meneruskan mesyuarat tanpa menyoal Amirah kerana mungkin masalah peribadi dan mesyuarat yang penting ni perlu diteruskan. Agenda besar bakal diadakan iaitu Karnival BADAR.

Setelah satu jam lebih bermesyuarat, Jamil memberi peluang secara terbuka kepada sesiapa untuk meluahkan perasaan tak puas hati, teguran dan peringatan sebelum mesyuarat diakhiri.

"Baiklah, sebelum kita akhiri mesyuarat kita hari ni, saya buka peluang kepada siapa nak menyuarakan pendapat atau teguran?" kata Jamil sambil menyusun kertas kerja.

Tangan Amirah perlahan-lahan angkat. Menggeletar. Mukanya masih tertunduk. Semua memandang pelik kepada Amirah.

"Dipersilakan Amirah" Jamil mempersilakan walau di hatinya agak kurang sedap.

"......." Amirah masih berdiam diri. Tangannya digenggam sekuatnya sehinggakan menggeletar. Semua masih tertunggu apa yang ingin diperkatakan oleh Amirah.

"Ehem" Amirah berdehem. Amirah membetulkan kedudukannya. Nafasnya ditarik sedalam-dalam.

"Secara jujurnya, aku tak suka orang yang hipokrit. Di depan mata manusia, segalanya kelihatan sempurna dengan amalan yang dia bawa tapi hatinya sangatlah busuk!!! Langsung tak mencerminkan diri dia sebenarnya!!! Baik kau jujur lah Jamil, kau punya suratkan?" kata Amirah sambil terus mencampakkan surat yang telah renyuk akibat genggamannya.

Surat yang renyuk bergolek di depan Jamil. Semua memandang dengan pelik. Jamil tercengang. Shafiq memandang dengan beribu persoalan. Perlahan-lahan Jamil mengambil surat tersebut dan buka.

"Astaghfirullah" Jamil menggelengkan kepalanya setelah membaca isi surat tersebut.

"Ouh, bila kau baca balik surat kau buat baru nak beristighfar. Bila kau tulis kau tak beristighfar pulak!!? Betapa hinanya kau. Betapa buruknya akhlak kau. Kau sanggup menulis perkataan lucah semata-mata untuk menarik minat aku untuk suka kau!!" Amirah hampir menjerit dalam percakapannya.

Jamil tergemam. Tak faham dengan situasi yang berlaku. Semua ahli BADAR sedang berbisik sesama mereka.

"Anggap aku dah letak jawatan. Aku tak nak terlibat dengan orang yang macam ni!!" Amirah bangun dan meninggalkan kawan-kawannya lain.

"Eh, Amirah tunggu aku" Aqilah bangun mengejar Amirah.

Jamil masih lagi mendiam diri. Apakah semua ini dugaan untuk aku, bisik hati Jamil.

-----

Setelah mesyuarat BADAR diakhiri dengan tasih kafarah dan surah Al-Asr, Jamil terus bergerak ke asrama dengan langkah yang pantas. Shafiq melihat Jamil yang sememangnya sahabatnya dalam masalah.

"Aku tahu bukan kau buat perkara tak senonoh ni" Shafiq membiarkan sementara waktu untuk Jamil bersendirian.

Sampai je di dalam dorm, Jamil perlahan-lahan duduk di atas katil. Jamil menundukkan kepalanya. Tangannya menggenggam erat surat fitnah ke atas dirinya.

"Ya Allah, kenapa banyak sangat ujian Engkau berikan kepada aku? Engkau tak sayang aku lagi ke ya Allah?" Jamil bercakap sendirian.

Bahunya disentuh oleh seseorang. Jamil memandang sebelahnya. Shafiq berada di sisinya. Jamil risau.

"Emm, kau percaya ke yang ni aku buat?" Jamil mengangkat menunjukkan surat tersebut.

Shafiq menarik nafas sedalamnya. Perlahan-lahan nafasnya dihembus keluar.

"Sahabat, sebab tu lah aku ada di sini. Aku tahu kau perlukan semangat untuk terus kuat. Aku tahu kau takkan buat" Shafiq memandang dengan pandangan ikhlas.

Mata Jamil berkaca. Tak terkata. Seolah-olah begitu banyak ujian yang Allah bagi kepada diri dia.

"Jamil" panggil Shafiq. Jamil memandang Shafiq.

"Aku nak tahulah, sebenarnya masalah apa yang kau hadapi sampai jumpa ustaz Aashif? Aku sedia mendengar masalah kau. Manalah tahu aku boleh tolong?" Shafiq memberikan harapan.

"Sebenarnya aku ada masalah dengan ibu ayah. Entahlah, mungkin silap aku. Tapi aku harapnya boleh diselesaikan dengan sebaiknya" air mata Jamil mula mengalir.

Shafiq tak nak bertanyakan apa masalahnya tapi cukuplah sekadar Jamil boleh menceritakan yang di sedang hadapai masalah. Sudah cukup menggambarkan kepercayaan dia terhadap sahabatnya.

"Kalau kau nak tahu, sebenarnya Allah bagi ujian ni bukan untuk melemahkan kita. Allah bagi ujian pun bukan yang kita tak mampu. Allah bagi ujian ni sebagai tanda kasih sayang Allah kepada hambaNya. Kau kena tahu satu perkara bila Allah bagi ujian ni" Shafiq menghentikan kata-katanya seketika.

Jamil berhentikan tangisannya.

"Saat kau ditimpa masalah, dengan siapa kau sandarkan?" Shafiq bertanya.

Jamil terkedu. Mungkin sentap. Seolah terasa hatinya baru ditembak. Barulah dia sedar. Betapa perlunya sahabat dalam hidupnya. Sahabatlah yang akan mengingatkan kepada Allah.

"Aku perlu sandarkan kepada Allah" Jamil jawab dengan yakin.

Shafiq tersenyum.

"Ni lah Jamil yang aku kenal. Ok lah aku pergi prep dulu ye" Shafiq bangun dan berlalu pergi.

'Terima kasih, sahabat' hati Jamil berbisik syukur.

-----

"Wei, kau nampak tak tadi apa yang berlaku?" tanya Said kepada Fikri.

"Hahah nampak la. Kau ingat aku buta ke?" jawab Fikri seakan suka dengan keadaan yang telah terjadi.

"Menjadi gak rancangan kita nak jatuhkan si 'malaikat' tu"

"Tu la pasal, aku ingat tak menjadi tapi terkena gak hahaha" kata Fikri sambil tersenyum puas.

"Aku memang dah lama tak puas hati ngan Jamil tu, acah baik je" kata Said dengan muka tak puas hati.

"Haah, aku ingat tak time kita kena marah sebab solat lambat?" tanya Fikri.

"Uuishh, siapa tak ingat, mestilah ingat wei! Aku malu kot, kena marah. Macam maruah aku kena pijak tu" muka kemarahan Said seakan telah menyala.

"Tu la pasal, bukan tak solat kot. Pergi solat gak kan, cuma lambat tu je" Fikri pun menunjukkan tak kepuasannya lagi.

Fikri dan Said merupakan pelajar tingkatan 4 dan juga merupakan ahli BADAR. Malangnya, mereka mempunyai sifat dendam yang tak bertempat. Apabila nafsu amarah syaitan menguasai diri, pasti ada perkara yang buruk akan berlaku jika tak dikawal dengan sebaiknya. Sebab itulah Islam mengajar kita untuk bersabar.

Jamil marah atas sebab tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin di sekolah sahaja. Tak lebih dari itu.

Fikri dan Said seolah berasa puas atas apa yang telah mereka lakukan. Kepuasan yang tak pernah akan puas kerana nafsu tak pernah hilang dahaganya.

Mereka terus berjalan dengan senyuman yang menyembunyikan sesuatu. Mungkin bakal berlaku kejadian yang tak diingini lagi.

Jamil masih cuba untuk menguatkan dirinya atas apa yang telah berlaku. Dia pasrah segalanya pada Allah.

===========

Ada yang nak sambungan ke?

Cerpen ni tak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati. Watak yang ada bukanlah ada kena mengena dengan yang kita kenal. Kalau ada pun hanya kebetulan je.

Rabu, 7 Jun 2017

Fake Muslim?



Alhamdulillah cuma sekadar pemberitahuan yang teramat teruja. Bagi saya lah. Nantikan pada tahun 2018. Tu je.

Moga artikel kali ni bermanfaat!

-----

Saya terpanggil untuk memberi penjelasan mengenai satu isu yang menjadi salah faham masyarakat pada masa kini lagi-lagi anak muda. Ada sebahagian masyarakat suka terus melulu memberi penyataan ‘dakwah’nya sehinggakan kalau orang yang tak tahu apa-apa akan menerima secara bulat-bulat apa yang disampaikan sedangkan jelas salah.

Apa isu yang ‘hot’ di salah erti ni?

Ada beberapa kenyataan tapi saya ambil satu je sebagai contoh.

“Janganlah kita jadikan agama sebagai penutup segala aib dan dosa kita. Kalau nak jadi baik, jadilah baik yang ori. Nak jadi jahat, jadilah jahat yang ori. Janganlah jadi fake dakwah, fake muslim, jual agama”

Nampak tak apa yang menjadi salah faham?

Kononnya tak baik jadi penjual agama atau penunggang agama pastu nak jadikan sebagai hujah untuk mempertahan maksiat yang kita buat! Gitu?

Meh, kita terjah satu per satu penjelasan ni. Moga Allah buka hati kita semua untuk menerima dengan terbuka dan berikanlah hidayah dan taufiq kepada kita semua. Amin.

Bertanyalah.

Pemahaman yang di salah erti ni biasanya sebab kita tak ada ilmu atau kita nak tunjuk pandai dalam sesuatu bab. Lagi-lagi dalam bab agama ni.

Nasihat saya, tanyalah kepada yang lebih pakar kalau kita tak tahu. Please, saya merayu kepada kalian semua supaya bertanyalah kepada yang lebih tahu dari kita kalau kita tak faham atau tak tahu dalam sesuatu perkara.

Kenapa pentingnya bertanya ni?

Kalau nak tahu antara faktor terjadinya atau terciptanya ajaran sesat dan menimbulkan salah faham dalam masyarakat ialah kita buat andaian sendiri dalam sesuatu perkara.

Sebagai contoh mudah ialah ajaran Syiah. Kebanyakkan tafsiran Al-Quran yang ditafsir oleh golongan Syiah adalah berdasarkan akal semata-mata. Sedangkan untuk mentafsir Al-Quran memerlukan hadith iaitu penjelasan daripada rasulullah mengenai sesuatu ayat, penguasaan bahasa Arab yang tinggi, mengetahui asbabun nuzul (sebab turunnya ayat), ilmu usul fiqh, ilmu nasikh mansukh dan sebagainya.

Jelas?
Contoh yang lain ialah mengenai perjuangan jihad yang di salah erti yang konon diperjuangkan oleh ISIS. Sedangkan konsep jihad yang diperjuang pun jelas salah. Jelaslah juga masyarakat kita kebanyakkan malas nak bertanya dan malas nak menuntut ilmu.

Bahaya orang sebegini. Sebenarnya golongan ni juga boleh dikatakan menjual agama dan penunggang agama!

Firman Allah SWT,
“Bertanyalah kepada orang yang lebih mengetahui jika kamu tidak mengetahui”
(Surah An-Nahl : ayat 43)

Nah, Allah berfirman supaya kita semua tanyalah kepada yang sepatutnya.

Kalau tak tahu tentang ilmu agama, tanyalah pada ustaz, ulama, ustazah dan ahli agama.
Kalau tak tahu dalam ilmu perubatan, tanyalah pada ahli farmasi dan doctor.
Kalau tak tahu skill atau sesuatu sukan, tanyalah pada ahli sukan.

Ingat! Jangan kita selalu membuat andaian sendiri dalam sesuatu perkara lagi-lagi bab agama sebab akan menyebabkan terpesong akidah dan tersalah amal. Nauzubillah! Moga kita dijauhkan.

Periksalah.

Allah berfirman dalam Al-Quran,
“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada mu  orang fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan mu itu”
(Surah Al-Hujurat : ayat 6)

Apa kena mengena perbahasan dengan ayat Al-Quran ni?

Dalam masyarakat kita ni selalunya menyebarkan sesuatu berita sehingga menyebabkan viral sana sini dan please wahai sahabat ku, periksalah terlebih dahulu sebelum kita nak sebarkan.

Jelas Allah menyuruh untuk kita periksa dulu dan jangan suka sangat main sebarkan suatu berita yang kita sendiri tak pasti. Allah menyatakan orang fasik dan orang fasik ni merujuk kepada siapa?

Orang fasik ni merujuk kepada kita semua. Kenapa?

Orang fasik ni ialah orang sering melakukan dosa. Bukan ke kita ni selalu buat dosa?

Jadikan amalan dan kebiasaan dalam kehidupan masyarakat dengan periksa dengan teliti kesahihannya. Kalau kita ambil sesuatu berita dengan terima bulat-bulat, tak mustahil juga kita akan terjebak dengan pemahaman yang salah dan mungkin tersalah amal ibadah dan tak mustahil boleh terpesong akidah.

Baiklah, setelah bahas secara pendek ni daripada tajuk “Tanyalah” dan “Periksalah”, apa yang kalian dapat?

Kesimpulannya, terjadinya isu salah faham dalam kenyataan agama ni disebabkan 2 perkara,

Pertama, kita dapat sesuatu ilmu, kita terus membuat andaian kita tanpa bertanya kepada yang lebih tahu dari kita sedangkan kita tak tahu sangat pun tapi kita buat macam kita tahu banyak je.

Kedua, Bila kita dapat sesuatu kenyataan, kita terus menganggap “Eh betul gak ni”, kemudian, dengan sambil lewa tanpa ada rasa tanggungjawab terus kita sebarkan.

“Eh, macam tak ada sentuh pun dengan tajuk ‘Fake Muslim’?”

Ada lagi la ni. Meh, jemput baca lagi ye.

Fake Muslim atau Jahat Ori, Mana Lagi Baik?

Apa nasihat saya ialah, jadilah orang Islam yang sebenar-benarnya. Janganlah jadi orang membuat kejahatan agama atau menjadi penjual agama dan penunggang agama.

Tak ada istilah kalau nak jadi baik, jadilah baik yang betul-betul. Kalau nak jadi jahat, jadilah jahat yang betul-betul.

Kalau kita fahamlah secara logik akal kenyataan macam tu, kalau boleh semua nak jadi jahat. Buat apa jadi baik sebab siapa jadi baik semuanya akan ditindas dengan yang jahat.

Tak gitu?

Saya nak tanyalah kepada kalian tapi kalian kena jawab dengan jujur dari hati.

Kalau ada yang buat jahat dengan kalian, adakah kalian redha? Kalian suka ke?

Pastinya tak suka kan? Itu lumrahnya, siapa suka kejahatan itu menimpa diri kita sendiri? Sebab itulah janganlah jadi jahat. Janganlah buat maksiat. Janganlah buat dosa. Jadilah muslim yang sebenarnya.

Untuk kenyataan ‘janganlah jadi fake muslim atau penjual agama atau penunggang agama’ memang perlu kita jauhi. Janganlah sama sekali kita terjebak.

Golongan ni kebiasaanya menceburi bidang agama demi meraih keuntungan dan kepentingan diri sendiri. Malah, ada juga untuk menutup aib dan menutup dosa yang dilakukan supaya masyarakat Nampak golongan merupakan golongan agamawan.

Golongan ini juga sangat dimurkai oleh Allah kerana menipu diri sendiri kerana banyak berlakon depan manusia seolah-olah warak tetapi hatinya busuk malah bukan dirinya sebenarnya.

Firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kalian mengikuti jejak syaitan kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi kalian”
(Surah Al-Baqarah : ayat 208)

Jelaslah Allah menyatakan jadilah muslim yang sebanar dengan ambil Islam secara menyeluruh dan jangan jadi jahat atau penunggang agama seperti jejak syaitan.

Sebab itulah tiada istilah jahat ori lebih baik dari penunggang agama kerana kedua golongan ni tak ambil Islam secara menyeluruh.

Dan janganlah kita salah faham dengan satu kenyataan sebegini,

“Salah satu tanda kiamat ialah di siang hari dia menjadi Islam, mengerjakan ibadah tapi di malam hari dia menjadi kafir. Erti kata lain, tak beriman dan melakukan perbuatan terkutuk.”

Kenyataan ni betul tapi yang di salah erti adalah kita sendiri. Ini merupakan perbahasan ulamak mengenai satu hadith nabi berkenaan iman manusia.

Rasulullah bersabda iman manusia kadang naik dan kadang menurun.

Apabila tahap iman seseorang itu naik maka ia akan menjadi mulim sejati dengan mengerja ibadah dan apabila iman seseorang menurun maka seseorang itu akan melakukan dosa, maksiat malah tak mustahil menjadi kafir kerana tahap imannya yang lemah.

Tak kiralah time pagi dia beriman ke atau time malam dia beriman tapi yang pasti bila iman naik dia akan membuat amal kebajikan. Tak kiralah time pagi dia iman menurun atau malam iman dia menurun tapi yang pasti ketika iman dia menurun dia akan melakukan dosa dan tak mustahil dalam keadaan kafir kerana lemahnya iman dia.

Kesimpulan yang mudah saya boleh katakan ialah janganlah jadi penunggang agama, penjual agama, fake muslim, fake dakwah dan orang jahat ori tetapi sahutlah seruan Allah untuk menjadi orang yang mengambil Islam secara menyeluruh iaitu menjadi muslim yang sebenar.

Eh, sebelum menutup akhir kalam saya, ketahuilah wahai kawan, tiada yang sempurna seseorang yang bergelar manusia itu dan sebab itulah ada je dari kalangan agamawan yang membuat salah dan silap. Nama pun manusia kan.

Kalau nak cari manusia agamawan yang sempurna pergilah cari di langit sana tu, kalau jumpa bagitahu ye.


Moga Allah redha. WaAllahu’alam.

Selasa, 6 Jun 2017

Apa Salahnya? (Edisi Khas Ramadhan)

Hah, lama sangat tak update ni. Agak berhabuk tapi inn shaa Allah teruskan doa untuk saya ye. Moga bermanfaat!

------

Alhamdulillah, kita masih lagi berpeluang untuk terus berada dalam bulan yang penuh barakah ni, Alhamdulillah. Syukur juga kepada Allah sebab dengan limpah kurniaNya kita masih lagi dapat merasai segala nikmat yang masih ada pada diri kita ni, Alhamdulillah. Banyakkan bersyukur kerana dengan rasa syukur ni lah menunjukkan kita merasa ‘cukup’ dengan apa yang ada tanpa ada penyakit hati.

Firman Allah,
“Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa”
(Surah Al-Baqarah : ayat 183)

Saya terpanggil untuk membuat satu coretan yang bermakna pada Ramadhan kali ini dengan ayat ‘apa salahnya?’.

Mesti ramai tertanyakan, “Kenapa tajuk camni?”.

Baiklah, saya nampak pada awal Ramadhan, Alhamdulillah ramai orang solat terawih. Sampaikan melimpah ke luar, Alhamdulillah. Subuh pun apa kurangnya dan sekurang-kurangnya ramailah berbanding sebelum ni atau bahasa mudah daripada langsung tak ada orang.

Saya tengok juga ada segelintir dari kalangan kita ni, dalam Ramadhan pun malas nak buat ibadah. Maknanya, ibadah dia biasa-biasa je sama seperti hari-hari sebelum ni. Sedangkan Allah telah menggandakan segala ganjaran bagi setiap amalan dan inilah peluang yang patut kita rebut.

Saya nampak juga ada segelintir dari kalangan kita ni masih lagi dalam kondisi sahsiah yang sama. Seperti, budaya mencarut, membahan orang, terbiasa percakapan lucah, merokok, bercouple, main-main dalam solat dan sebagainya belum lagi untuk diubah kepada yang lebih baik. Berubahlah pada bulan yang penuh kerahmatan ni. Inilah peluangnya.

Selain itu, kebiasan masyarakat kita apabila tiba bulan Ramadhan ialah membazir. Cuba bayangkan dengan berbuka puasa mewahnya, dengan penuh satu mejanya, dengan morehnya lagi lepas terawih tu. Memang membazir. So, kenapa pada bulan yang mulia ni kita nak membazir juga? Bukan ke Allah berfirman, membazir itu saudara syaitan. Bukan ke syaitan telah dibelenggu, kenapa kita menggantikannya?

Ada juga yang masih berbalah tentang bilangan terawih sama ada 8 rakaat atau 20 rakaat. Ada juga yang mengatakan sepatutnya Ramadhan ni tak perlu buat tazkirah sebab apa kita perlu ialah solat terawih. Kenapa perlu berbalah perkara yang mendatangkan kebaikan?

Kenapa perlu kita merebut untuk buat ibadah dalam Ramadhan ni? Kenapa kena berubah pulak dalam Ramadhan ni, kan bulan lain pun boleh? Kenapa kita mudah membazir?

Kenapa? Meh, baca slow-slow ye.

Peluang Yang Besar!

Pertama sekali, syukur sekali lagi sebab Allah masih lagi beri kita peluang untuk sampai pada bulan keampunan ni dan ini merupakan satu peluang yang perlu dan mesti untuk kita rebut.

Sebab kenapa?

Dalam satu hadith rasulullah yang sangat mahsyur, rasulullah bersabda,
“Awalnya adalah rahmah, pertengahannya adalah keampunan dan hujungnya adalah pembebasan api neraka”

Betapa besarnya nilai Ramadhan ni sampaikan rasulullah bersabda sebegitu. Takkanlah kita tak nak rebut ketiga-tiga perkara yang sangat besar nilainya. Tapi perlu kita ingat, pastikan kita buat sesuatu ibadah itu dengan bersungguh-sungguh dan barulah kita akan perolehi segala ganjaran tu. Malah, Allah tawarkan kepada kita semua keampunan bagi yang bersungguh-sungguh berpuasa.

Rasulullah bersabda,
“Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala maka Allah akan ampunkan dosa-dosa yang lalu”
(H R Bukhari)

Muhasabah diri masing-masing. Kita adalah pendosa dan kita bukalah maksum seperti rasulullah, bukanlah malaikat yang sentiasa taat kepada Allah maka apa salahnya kita berpuasa dengan bersungguh-sungguh dengan kurang segala perkara lagha.

Kurangkanlah tidur, kurangkanlah tengok drama atau movie yang tak berfaedah, kurangkanlah mencarut, kurangkanlah membahan orang lain, kurangkanlah bercakap kosong, sifarkanlah mengumpat, mengutuk dan macam-macam yang boleh membatalkan pahala puasa malah membatalkan puasa kita sendiri.

Janganlah kita jadi golongan yang rasulullah mengatakan ada golongan yang berpuasa tapi puasanya sia-sia dan hanya dapat lapar dan dahaga je. Allah, berat ni. Kita berpuasa tapi nothing.

Sebab itulah kita perlu untuk banyakkan ibadah. Seperti, azam untuk khatam Al-Quran, banyakkan berzikir, banyakkan solat sunat lagi-lagi solat terawih, dengar tazkirah, banyakkan bersedekah dan sebagainya.

Dan sekali lagi saya bagitahu, ambillah peluang untuk buat ibadah bersungguh-sungguh sebab kita ini adalah pendosa maka bila lagi masa untuk kita ambil melainkan kalau bukan Ramadhan ni.

Bukan setakat itu je, Allah menjanjikan juga khas untuk yang kita berpuasa dengan syurga Ar-Rayyan iaitu syurga bagi orang yang berpuasa. Nak dapat syurga ni bukanlah semudah kita sangka dengan puasa semata-mata. Kita silap.

Semua memerlukan usaha yang sungguh-sungguh kerana syurga itu bukanlah percuma. Sebab itulah kita perlu ambil kesempatan dan peluang yang ada pada bulan Ramadhan ni.
Sama-sama kita ambil peluang yang cukup berharga ini.

Masa Terbaik Untuk Berubah.

Ramadhan juga diibarat sebagai satu madrasah kerana di bulan Ramadhan inilah kita sepatutnya terdidik untuk lebih semangat buat baik, semangat nak buat ibadah, semangat untuk berubah, sebab apa? Sebab Allah menjanjikan kepada kita, bersusah payah kerana Allah di dunia ini maka sebagai gantinya ialah syurga.

Cuba hayati hadith ini. Sangat besar makna kepada kita semua.

Ketika mana rasulullah menaiki mimbar, bila baginda menaiki  anak tangga yang pertama rasulullah mengatakan “Amin”. Lalu, rasulullah menaiki anak tangga yang kedua pun rasulullah mengatakan “Amin”. Bila rasulullah menaiki anak tangga yang ketiga pun mengatakan “Amin”.

Bila sahabat dengar, mereka pun bertanya kepada rasulullah setelah baginda turun dari mimbar.

“Ya rasulullah, sungguh kami telah mendengar sesuatu yang tak pernah kami dengar sebelum ini”

Rasulullah SAW bersabda, “ Ketika aku menaiki anak tangga yang pertama, Jibril muncul dan berkata,

“Celakalah orang yang melalui bulan Ramadhan yang penuh barakah tetapi tidak dapat keampunan”. Maka aku berkata “Amin”.

Ketika aku menaiki anak tangga yang kedua, Jibril berkata, “Celakalah orang menyebut nama mu tetapi tidak berselawat kepada mu”. Maka aku berkata “Amin”.

Ketika aku menaiki anak tangga yang ketiga, Jibril berkata, “Celakalah orang masih mempunyai ibu bapa yang telah tua atau salah satu dari keduanya tetapi keduanya tidak menyebabkan orang itu masuk ke syurga” Maka aku pun berkata “Amin”.

Apa yang saya nak sampaikan? Apa isinya?

Cuba baca balik ‘amin’ rasulullah pada doa malaikat Jibril yang pertama. Yup, malaikat Jibril mendoakan ‘kecelakaan’ bagi sesiapa yang melalui bulan Ramadhan tetapi tak dapat keampunan Allah.

Bukan setakat rugi malah malang manusia sebegini kerana melepaskan bulan yang penuh barakah berlalu macam bulan-bulan yang lain pulak. Sedangkan Ramadhan merupakan bulan yang Allah sebut dalam Al-Quran! Betapa besarnya nilai kita berada dalam bulan Ramadhan ini.

Jadi apa kena mengena dengan tajuk saya ni?

Itulah yang saya nak katakan,
“Apa salahnya kita menjadikan Ramadhan kali ni sebagai titik permulaan untuk kita berubah?”
“Apa salahnya kita menjadikan Ramadhan kali ni sebagai permulaan untuk kita tinggal maksiat”
“Apa salahnya kita menjadikan Ramadhan kali ni sebagai medan kita belajar untuk jadi lebih baik?”

Apa salahnya!?

Sedarlah wahai diri, betapa lamanya Allah tunggu kita untuk berubah, untuk kita ingat padaNya, untuk buat baik, untuk tinggalkan dosa dan untuk istiqamah bertaubat. Kalian dan saya sama je malah tak jauh beza. Hidup kita atas muka bumi yang sama kita pijak dan menghambakan diri hanya yang satu yakni Allah.

Tak kita sedar selama ni Allah bagi macam-macam nikmat sehinggakan kita masih hidup dan hidup lagi pada hari seterusnya. Allah takkan menghidupkan kita pada hari berikutnya dengan saja-saja melainkan ada hikmahnya. Kalau semua ni sia-sia lebih baik kita tak diciptakan.

Firman Allah,
“Maka adakah kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu untuk bermain-main? Dan kamu menyangka kamu akan dikembalikan kepada Kami?”
(Surah Al-Mukminun : ayat 115)
Hamba Ramadhan.

Janganlah kita jadi hamba kepada Ramadhan. Jadilah kita hamba kepada Allah je. Apa maknanya?

Mudah je, kalau time Ramadhan ni kita bersungguh-sungguh buat amal baik, kita berubah, kita tinggalkan maksiat dan macam-macam lagilah tapi bila masuk Syawal je kita buat balik macam bulan-bulan sebelum Ramadhan.

Erti kata lain, Ramadhan je kita buat tapi bulan lain kita tak buat.

Ini maknanya kita masih lagi tak cukup menghayati Ramadhan ni. Kita tak cukup memahami apakah tujuan utama yang Allah nak kita capai dalam bulan Ramadhan ni supaya akan menjadi sesuatu yang besar dalam diri kita semua.

Hah, kan dah tertanya kat diri tu, “Apa yang Allah nak kita capai ni?”

Meh, baca surat cintaNya, Firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas umat-umat terdahulu berpuasa supaya kamu bertaqwa”
(Surah Al-Baqarah : ayat 185)

Cuba perhatikan pesanan Allah pada akhir ayat di atas. Yup, itulah tujuan utama kita perlu capai pada bulan Ramadhan ni iaitu taqwa.

Taqwa ni merupakan martabat paling tinggi dan susah untuk kita capai. Hanya orang yang betul-betul yakin dan faham akan dapai capai nilai ketaqwaan ni.

“Emm, habis tu kenapa perlu kita capai kalau rasa memang kita tak boleh capai?”

Fuh, rileks dulu. Meh, dengar penjelasan pasal taqwa.

Taqwa ni seperti yang kita faham ialah takut kepada Allah. Itu kefahaman secara mudah bagi kebanyakkan orang awam faham. Sebenarnya taqwa membawa stau makna yang sangat besar daripada apa yang kita sendiri faham sebenarnya.

Menurut Imam Al-Ghazali, kalimah taqwa dalam Al-Quran membawa 3 makna iaitu
-          Takut dan gerun
-          Taat
-          Menyucikan hati daripada dosa
Imam Al-Ghazali membuat kesimpulan bahawa taqwa itu ialah menjauhkan setiap apa yang ditakuti akan membawa mudarat kepada agama.

Mesti peningkan. Secara ringkasnya, kita dapat menjaga diri kita daripada melakukan perkara yang Allah tak suka, perkara yang Allah larang dan perkara bidaah. Sebab itulah susah bagi kita orang awam untuk mencapai nilai ketaqwaan ni.

Paling tidak pun sekurang-kurangnya pada bulan Ramadhan kita belajar untuk mencapai ketaqwaan dan sekurangnya dapat menghayati ke’ehsan’an.

“Apa pulak ehsan ni?”

Jangan pening-pening. Mudah je.

Dalam hadith nabi, nabi beritahu kepada kita ehsan itu ialah kita buat sesuatu seolah kita melihat Allah dan sekiranya tak mampu buatlah seolah Allah melihat kita.

Maknanya kita rasa nak buat maksiat tu, ingatkan diri tu yang Allah tengok ni. Bila nak buat jahat tu, ingatkan diri tu Allah lihat apa kita buat. Moga-moga kita rasa gerund an takut bila teringat padaNya.

“Eh jap-jap. Macam mana kalau kita dah teringat yang Allah akan tengok kita time nak buat maksiat tu tapi kita tak endah dan terus je buat dosa? Macam mana tu?”

Ehem, tu tandanya kita masih lagi tak kenal Allah.


WaAllahu’alam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...