Pada suatu hari di bulan Ramadhan, saya pergi ke bazaar ramdhan di sekolah (di kantin je). Al maklumlah saya asrama.
Saya ternampak Sir Kamal sedang berborak panjang dan melayan kerenah anak muridnya. Memang seorang yang simple, santai dan peramah.
Saya juga nak dilayan kerenah saya yang mengada ni hehe.
“Sir, macam mana sir boleh rapat dengan semua cikgu dengan pelajar?” saya lemparkan soalan sebaik sahaja duduk sebelah beliau.
Sir tersenyum je. Saya meneruskan soalan lagi,
“Saya tengok semua senang dengan sir. Yelah sir kan peramah tapi mesti ada tips kan?”
Sir masih tersenyum.
Saya pun tersenyum.
“Syukurlah dengan diri awak” sir membalas.
Erk, saya Cuma membalas, “Oooo”
“Awak tak faham lagi ni. Syukurlah dengan diri awak. Jadilah diri awak yang sebenar”
Ouh baru saya faham hehe.
Saya asyik lihat sir dengan Samsung Tab sudah agak lama. Saya terfikir, kenapa sir tak tukar?
“Emm, sir kenapa sir tukar phone lain? Ustaz lain dah tukar dah” saya terlontar soalan tu.
Jawapan yang simple dan agak mendalam juga.
“Saya masih syukur dengan Tab saya ni. Kalau ada rezeki tukarlah. Bukan ke kalau syukur Allah akan tambahkan nikmat? Mana tahu Allah akan gantikan phone yang lebih baik”
Okay, saya tersipu malu dengan kata-kata yang penuh nasihat.
Setelah lama berborak panjang, saya pun minta diri untuk ke asrama untuk persiapan berbuka puasa. Dalam perjalanan ke asrama membuatkan saya terfikir balik apa yang sir sampaikan.
‘Emm, betul juga apa yang dikata oleh sir’ saya bermonolog sendirian.
Kenapa sekarang ni konsep syukur itu sendiri ramai yang salah erti?
Ada juga yang tanya kepada saya, antara syukur dengan sabar mana lagi bagus?
Inn shaa Allah sama-sama kita belajar makna erti syukur yang sebenar.
Hakikat Erti Syukur.
Kalau bab syukur suka saya mulakan dengan satu cerita yang sangat mahsyur dan saya sendiri pasti permbaca juga sudah tahu cerita ni.
Pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab, ada seorang pemuda selalu berdoa yang agak pelik bunyi. Sehinggalah pada suatu ketika Khalifah Umar sedang bertawaf dan terdengar pemuda tadi berdoa yang agak pelik dan hairan dengan doa tersebut.
Selesesai tawaf, Khalifah Umar berjumpa dengan pemuda tadi dan bertanya,
“Wahai pemuda, kenapa kau berdoa begitu”
“Wahai Amirul Mukminin! Aku membaca doa begitu sebab aku takut bukanlah dari kalangan hambaNya yang bersyukur” jawab pemuda itu.
“Aku memohon agar Allah memasukkan aku ke dalam golongan yang sedikit seperti Allah sebutkan dalam Al-Quran iaitu golongan yang bersyukur kepada Allah”
Apabila Khalifah Umar mendengar jawapn pemuda itu, Khalifah Umar menepuk dahinya dan berkata pada dirinya sendiri,
“Wahai Umar, betapa jahilnya kau, ada orang yang lebih alim daripada kau”
Daripada kisah di atas semua tahu doa yang ‘pelik’ yang di doakan oleh pemuda itu ialah,
“Ya Allah jadikanlah aku dari kalangan golongan yang sedikit”
Bunyi agak pelik tetapi kalau kita tahu apakah rahsia di sebalik makna ‘sedikit’ sudah pasti kita juga akan memohon kepada Allah perkara yang sama,
Allah berfirman,
“…. Dan sangat sedikit hambaKu yang bersyukur”
(Surah Al-‘Araf : ayat 10)
Kenapa dalam kalangan hamba Allah yang banyak-banyak ni hanya sedikit sahaja yang bersyukur? Why?
Syukur ni satu amalan yang susah untuk buat kalau kita tak faham konsep syukur sebenar.
Apa erti syukur? Syukur dari segi bahasa bermakna pujian.
Sememangnya syukur itu salah satunya dengan mengucap ‘alhamdulillah’ tetapi ia juga atas kerelaan hati.
Apa maknanya? Saya akan berikan contoh.
Bila kita terima pujian, syukur.
Bila kita terima kejayaan, syukur.
Bila kita terima pekerjaan yang bagus, syukur.
Bila kita anak yang soleh dan solehah, syukur.
Bila kita terima bantuan, syukur.
Seolah-olah kita hanya tahu syukur hanyalah apabila kita ‘terima dan dapat’. Bila kita faham konsep syukur begini maka kita hanya akan syukur apabila kita terima sahaja.
Apabila kita terima kekurangan atau ujian, kita takkan bersyukur sedang bersyukur ini atas kerelaan hati. Pandang dari sudut yang yang lain sekiranya kita hendak bersyukur.
Bila kita tahu terima ujian itu tanda cinta Allah maka kita akan syukur.
Bila kita terima kesusahan dalam urusan seharian kita itu tanda cinta Allah maka kita akan syukur.
Tidak hairanlah kalau ulamak membahaskan bahawa sifat syukur mempunai darjat yang lebih tinggi berbandin dengan sifat sabar.
Kenapa? Sifat syukur itu dengan kerelaan hati maka tiada apa yang akan terpendam dalam hati kita. Sifat sabar pula kita menahan amarah kita demi kebaikan kita dan orang lain tetapi hati kita masih terpendam sesuatu.
Syukur bukan sekadar kita terima nikmat bahkan kita terima ujian namun hati merelakan maka itulah syukur sebenar.
Tak Rugi Bersyukur.
Bersyukur bukanlah seolah-olah kita merasakan hidup kita ‘sempurna’ dengan kekurangan yang ada sedangkan bersyukur ini merasakan diri cukup dengan apa yang ada.
Perasan atau tidak, meh jawab dulu soalan di bawah. Soalan ni saya dapat daripada mesej aplikasi whatsapp.
1. Allah menciptakan tertawa dan __________.
2. Allah itu mematikan dan __________.
3. Allah menciptakan lelaki dan __________.
4. Allah memberikan kekayaan dan __________.
Saya yakin kebanyakkan pasti akan menjawab soalan di atas seperti jawapan di bawah seperti saya jawab.
1. Menangis
2. Menghidupkan
3. Perempuan
4.Kemiskinan
Adakah kita yakin, Allah memberikan kekayaan dan kemiskinan? Sedang dalam Al-Quran membawa jawapan yang berbeza malah yang kita sendiri tak sangka inilah jawapan yang Allah berikan kepada kita. Sangat memotivasikan.
Jawapan Allah sangat menarik kerana Allah himpunkan hanya dalam satu surah sahaja iaitu Surah An-Najm ayat 43-45 dan 48.
1. "Dia yang menjadikan orang tertawa dan menangis” (Surah An-Najm : ayat 43)
2. " Dan Dia lah mematikan dan menghidupkan” (Surah An-Najm :ayat 44)
3. “Dan Dia lah yang menciptakan berpasang-pasangan lelaki dan perempuan” (Surah An-Najm : ayat 45)
4. “Dan Dia lah yang memberikan kekayaan dan kecukupan” (Surah An-Najm : ayat 48)
Ternyata kita semua terkeliru dengan janji Allah terhadap ‘kemiskinan’ yang kita rasai inilah dikatakan kecukupan.
Maka syukur ini bukan membuatkan kita rugi. Bukan seolah-olah kita perlu mengikut seperti apa yang orang sekeliling ada tetapi syukur membuatkan kita merasa cukup dan Allah berjanji akan menambah nikmat kita malah Allah akan bagi lebih lagi.
Firman Allah,
“Dan (ingatlah) ketika tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya!
Jikalau kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat Aku kepada kamu. Dan
demi sesungguhnya, jikalau kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab Ku sangat
pedih”
(Surah Ibrahim : ayat 7)
Saya yakin antara dari kalangan dari kita pasti menyangka nikmat ini hanya dengan rezeki sahaja seperti harta. Sebenarnya tidak!
Allah akan tambah bukan sekadar rezeki bahkan seperti kejayaan, dipermudahkan urusan seharian, bahagia hidupnya, kesihatan yang baik dalam taat perintah Allah dan sebagainya.
Oleh sebab itu, syukur ini perlu dididik dalam diri setiap muslim dengan merasakan syukur atas nikmat iman dan islam terlebih dahulu. Antara nikmat yang terbesar adalah nikmat iman dan Islam bukannya nikmat harta, nikmat kejayaan, nikmat kesihatan dan nikmat yang lain.
Bukan ke Allah berfirman dalam Al-Quran,
“Sekiranya kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya kamu
tidak akan mampu”
(Surah Ibrahim : ayat 34)
Jelas bahawa Allah memberi satu kurniaan yang besar dalam hidup kita iaitu sifat syukur.
Apabila kita syukur maka Allah akan tambahkan tetapi sekiranya kita kufur akan nimat Allah maka ingatlah azab Allah itu sangat pedih di akhirat.
Syukur itu satu kerelaan hati bukannya paksaan. Oleh itu, didiklah diri dengan merasa cukup dengan apa yang ada.
Semoga kita menjadi orang bersyukur dalam setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan kita.
“Sesungguhnya Kami telah menunjuki jalan yang lurus, ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir”
(Surah Al-Insan : ayat 3)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan