Pernah suatu ketika saya menunggu untuk balik ke rumah di sebuah masjid.
Kebetulan pada waktu dah nak masuk waktu Asar. Masjid tu selalu berkunci dan
mungkin untuk sebagai langkah pencegahan daripada pencuri rasanya.
Saya husnudzon (bersangka baik).
Menunggu dan menunggu datang seorang abang duduk di sebelah saya.
“Assalamualaikum” sapa abang tu sambil menghulurkan tanganya untuk
bersalam bila dah duduk.
“Waalaikumussalam” saya sambut tangan abang tu dengan bersalam. Saya
bagi ruang untuk abang tu duduk.
Mulalah perbualan yang agak panjang yang penuh dengan unsur-unsur
tarbiah.
Ada juga selit beberapa persoalan, duduk mana? Sekolah mana? Ambil
subjek apa? Dan sebagainya.
Sehinggalah perbualan di sini berlaku sesuatu.
“Kenapa masjid selalu berkunci?” abang tu tanya saya.
“Saya pun tak tahu bang. Dengar-dengar dah banyak kali kes kecurian
berlaku” saya hanya bagi khabaran sahaja.
“Sepatutnya masjid kena buka 24 jam sebab masjid ni institusi umat
Islam. Tempat utama orang Islam” terang abang tu.
Saya angguk faham.
Kemudian, abang tu menceritakan kisah nabi berdakwah di Thaif, kisah 3
nabi berdakwah satu kampung, kisah semut pada zaman nabi Sulaiaman dan banyak
lagi.
Saya suka dengar kisah-kisah.
Tiba-tiba Allah hadirkan dengan satu ujian. Berhenti satu van sekolah
yang bawa hanya penumpang perempuan je. Mereka berhenti untuk solat Asar masa
tu.
Astaghfirullah, hanya Allah je yang tahu hati saya. Saya pandang tanpa
perasan yang sebenarnya saya pandang mereka.
Abang tu perasan apa yang pandangkan. Maka satu kata-kata yang sangat
mengetuk saya telah berlaku dan hamper meretakan hati saya dengan kata-kata
yang penuh sindiran yang mana dalam tu terdapat teguran.
“Barangsiapa yang menjaga pandangannya daripada perempuan yang bukan
mahram maka Allah akan bagi kita kemanisan dalam ibadah”
Allahu, sentap tembus ke langit 7.
Memang saya terfikir kenapa susah sangat nak dapat kemanisan iman ni?
Apa salah satu menjadi faktor yang menyebabkan kita rasa manisnya ibadah?
Tanpa Iman Amal Tiada.
Sebelum kita tahu lebih banyak lagi pasal iman, mula-mula kita kena
kenal dulu apa tu iman?
Iman seperti dalam satu hadith nabi ialah rukun iman. Persoalannya,
rukun iman tu apa? Saya yakin ramai yang tahu rukun iman.
Rukun iman ada 6 perkara. Pertama, beriman kepada Allah. Kedua, beriman
kepada malaikat. Ketiga, beriman kepada rasul. Keempat, beriman kepada kitab.
Kelima, beriman kepada hari kiamat. Keenam, beriman kepada qadak dan qadar.
Iman yang disepakati oleh kebanyakan ulamak ialah pengertian iman yang
dimaksudkan oleh para sahabat rasulullah iaitu membenarkan dengan hati,
berikrar dengan lisan dan menzahirkan amalan dengan perbuatan.
Terdapat juga beberapa ulamak menambah sedikit daripada pengertian iman
iaitu amal bertambah dan maksiat kurang.
Iman sangat penting dalam hidup kita sebab tanpa iman kita takkan
beramal satu pun dengan ajaran Islam. Iman sebagai pendorong kita untuk terus
istiqamah, menambah dan memperbaiki segala amal kita. Bukan untuk menjadi
sempurna tapi untuk mendapatkan redha Allah.
Allah sebut “orang beriman” dalam Al-Quran sebanyak 89 kali. Menunjukkan
jumlah ni pun agak besar dan penting untuk orang beriman.
Sebagai contoh mudah peranan iman. Apabila seseorang mendengar azan, dia
akan cuba untuk segerakan walau macam mana pun keadaan. Inilah tanda seseorang
itu mempunyai iman yang hebat.
Kalau sekiranya seseorang mendengar azan tapi dia tak solat dengan
segera. Maknanya dia ni tetap solat tapi melambatkan solat, ini tandanya dia
masih ada iman tapi tak kuat imannya.
Persoalannya, macam mana nak jaga iman kita? Sedangkan iman ni bukan
boleh sesukahati untuk diwarisi oleh sesiapa.
Allah berfirman dalam Al-Quran,
“Allah mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada
kejahatan dan membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang
menjadikan dirinya yang suci bertambah-tambah suci (dengan iman dan amal
kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah yang menjadikan sirinya yang sedia suci
itu susut terbenam dengan kesuciaanya (dengan maksiat).
(Surah As-Syams : ayat 8-10)
Pertama, jaga amal kita. Tak kira wajib atau sunat pastikan kita jaga
sebaiknya dengan istiqamah. Sentiasa perbaiki amal kita dari semasa ke semasa.
Pastikan kita semua membuat senarai checklist apa yang patut kita buat pada
hari-hari.
Sebagai contoh, setiap selepas solat Subuh kita dah tetapkan untuk baca
Al-Quran maka teruskan buat setiap selepas solat Subuh. Antara yang lain, kita
tetapkan untuk sedekahkan seringgit setiap hari. Pastikan kita buat.
Biarlah amalan tu kecil tapi istiqamah itu lebih baik dari amalan yang
besar tapi buat kadang-kadang.
Kedua, Jauhkan diri dari segala perbuatan yang mendatangkan dosa. Tak
kira perkara tu sekecil mana sekalipun jangan sesekali menganggap perkara ni
semua remeh. Sedangkan setiap dosa yang dilakukan akan menambahkan titik hitam
dalam hati.
Tak mustahil akan datang kita yang terus dalam dosa menyebabkan langsung
tak ada rasa bersalah terhadap Allah atas apa yang kita buat. Mohon pada Allah
agar kita benci pada maksiat dan usaha untuk jauhkan.
Menjadi sangat susah apabila kita ‘cinta’ pada dosa. Kita rasa seolah
susah nak pisahkan malah untuk terus buat akan ada. Sebab itu kita perlu
bertaubat setiap hari dan berazam untuk terus menjadi muslim yang awesome.
Hakikat Iman Kita.
Betapa jauhnya bezanya iman kita dengan iman para sahabat baginda
rasulullah. Jelaslah kita semua perlukan makanan kerohanian setiap hari demi
menyuburkan iman kita untuk terus beramal dengan ajaran Islam.
Sekiranya para sahabat apabila menerima wahyu maka para sahabat terus
akur dengan perintah yang telah disuruh tetapi kita perintah yang sudah lama
sejak 1400 tahun dahulu, kebanyakkan daripada kita masih tak laksanakan.
Contoh perkara yang ketara ialah tutup aurat. Tak semua yang bergelar
orang Islam yang menutup aurat. Kenapa perkara ini terjadi? Iman kita.
Semakin kita tak buat perintah wajib dan tak perbanyakkan amalan sunat,
semakin nipis dan tipis iman kita sehinggakan buat dosa kita takkan ada rasa
apa-apa malah merupakan satu hak perlu dipertahan seperti hak kebebasan, hak privasi
dan sebagainya.
Tak hairan sekiranya muncul kumpulan-kumpulan yang mempertahankan
perkara yang salah kerana pemikiran libralisme dan macam-macam ‘…sme’ di
belakangnya telah menjejaskan pemikirang kita semua yang sepatutnya
berlandaskan Al-Quran dan sunnah (hadith).
Firman Allah,
“Kitab Al-Quran ini, tak ada sebarang keraguan padanya (tentang
datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya) ia pula menjadi petunjuk bagi
orang-orang yang bertaqwa”
(Surah Al-Baqarah : ayat 2)
Persoalanya, berapa ramai dikalangan kita nak taqwa? Berapa ramai
dikalangan kita yang yakin pada Al-Quran?
Apa Kita Mahu Daripada Tarbiah?
Segala amal kita, kebaikan kita, istiqamah kita dan cinta kita akan
kebaikan adalah bermula dengan tarbiah. Tarbiah adalah permulaan untuk kita
terus menerus mencari redha Allah.
Apa tu tarbiah?
Tarbiah adalah daripada perkataan arab yang bermaksud pendidikan. Secara
definisinya tarbiah ialah satu proses yang mempersiapkan manusia yang bertaqwa kepada
Allah secara berperingkat untuk menepati amalan mengikut syariat Allah bagi
merubah kepada yang lebih baik.
Sekiranya kita tanya definisi tarbiah pada setiap orang, setiap orang
akan memberikan definisi yang berbeza tapi membawa maksud yang sama.
Apa yang kita faham dengan tarbiah? Tarbiah ni satu didikan untuk
membentuk diri supaya mengikut perintah Allah dan meninggalkan larangaNya dan
megajak orang lain bersama mencari redha Allah.
Tarbiah bukanlah mendidik orang lain semata-mata tapi mendidik diri kita
juga.
Tarbiah terbahagi kepada 3 iaitu tarbiah jami’ah, tarbiah fardhiah dan
tarbiah dzatiah.
Tarbiah jami’ah ialah proses pendidikan secara beramai-ramai. Seperti
contoh usrah, majlis ilmu, seminar, ceramah motivasi, bengkel dan sebagainya.
Perkara ni sudah menjadi kebiasaan setiap sekolah atau mana IPT dalam membuat
program sebegini. Sama seperti di masjid dan surau.
Tarbiah fardhiah ialah proses pendidikan secara personal atau one on one.
Seperti contoh guru disiplin berjumpa dengan murid bermasalah, kita bertanyakan
pandangan pada seseorang je, kita kongsikan masalah pada seseorang dan
sebagainya. Kebiasaanya ni melibatkan terguran dan meminta pandangan.
Tarbiah dzatiah ialah proses mendidik diri kita sendiri. Untuk
pengetahuan semua tarbiah dztiah ni sangat penting sebab semuanya bermula dari
diri kita sendiri dan kebanyakkan masa yang terluang adalah bersama diri kita.
Setiap tarbiah yang kita jalankan sama ada jami’ah, fardhiah dan
dzatiah, semua ni kadang kita akan melalui proses ‘paksa’ diri. Paksa diri buat
perkara yang wajib dan paksa diri tinggal segala dosa.
Lama-kelamaan setiap proses paksaan ni akan melahirkan rasa cinta
terhadap agama dan kita terbiasa untuk lakukan. Akhirnya kita akan temui
manisnya iman.
Seorang abid atau ahli ibadah berkata, aku solat sepajang hidup ku
dengan secara paksaan dan akhirnya aku jumpa kemanisan solat itu.
Pada hari ni banyak sangat program tarbiah di merata-rata tempat sama
ada di masjid, kolej, sekolah, rumah dan sebagainya tapi apa yang kita nak
daripada tarbiah ni sebenarnya?
Sekadar ikut kawan-kawan, untuk mengisi masa lapang, untuk saja-saja?
Kalau ada terlintas semua perkara di atas atau sama waktu denganya maka
sia-sialah segala proses tarbiah yang pernah kita lalui selama ni. Sebab apa?
Sebab tarbiah bermatlamat untuk menjadikan manusia yang lebih baik dan
bertaqwa.
Tarbiah memerlu ilmu untuk amal. Seperti firman Allah,
“Bertanyalah kepada ahli ilmu, jika kalian tidak mengetahuinya”
(Surah Al-Anbiyak : ayat 7)
Betapa pentingnya tarbiah supaya ilmu yang kita dapat dapat menjadikan
diri kita semua bertaqwa kepada Allah. Moga kita semua terus istiqamah dengan
matlamat menjadi manusia yang bertaqwa kepada Allah.
“Barangsiapa melalu satu jalan untuk
menuntut ilmu, nescaya Allah akan mudahkan baginya jalan menuju ke syurga”
(H R Bukhari)