Datang seorang pelajar dengan muka yang penuh dengan masalah. Dia memasuki bilik guru dan mencari seorang ustaz yang dia ingin berjumpa. Itu pun ustaz, hatinya berbisik.
"Assalamualaikum ustaz" sapa pelajar tersebut sambil menghulurkan tangannya untuk salam.
"Waalaikumussalam ouh Jamil, ada apa-apa ustaz boleh bantu" ustaz menyambut tangan Jamil untuk bersalam.
"Emm ustaz kalau ada masalah kan? Pertama sekali apa yang perlu saya buat?" Jamil bertanya dengan mengharapkan dapat menyelesaikan masalahnya.
"Kalau ustaz mula-mula akan cari masjid dan iktikaf. Bila duduk di masjid kita akan tenang dan merasakan Allah sememangnya dekat dengan kita. Paling best sekali kita akan berkawan dengan malaikat. Malaikat sentiasa mendoakan kita agar diampunkan dosa selagi kita berada dalam masjid. Bila kita dah selalu pergi masjid, nanti bila kita tak datang masjid malaikat akan mencari kita di rumah dan berdoa agar kita ke masjid lagi. Ingat Allah ye, Jamil." Terang ustaz dengan panjang lebar.
Jamil berfikir sekejap. Mengimbau kenangan lama.
-----
Jamil telah menimbulkan satu masalah. Dia rasa amat bersalah dan dia rasa memang tak tenang. Dia tercari-cari.
'Apa yang perlu aku buat??'
'Argggh, serabut fikiran aku ni..'
'Macam mana nak tenang ni?'
Macam-macan soalan terjah di benak fikirannya.
Sejak itu dia asyik pergi masjid. Entah kenapa hatinya tertarik dengan masjid. Dia dapat rasa yang berlainan apabila duduk di masjid berbanding di rumah atau sekolah.
Tenang.
Aman.
Tetapi fikirannya masih tercari, adakah betul aku buat ni??
Masih lagi dalam kebuntuan. Mengharapkan ada penyelesaian secepatnya.
"Jamil" Panggil kawannya, Shafiq.
"Apa dia?" langsung tak ada semangat.
"Sinilah" tangan Shafiq memanggil Jamil.
Jamil datang dengan perlahan-lahan.
"Hah apa dia"
"Aku tau kau ada masalah kan?" tanya Shafiq.
"Haah kenapa?"
"Kau kena ingat. Allah bagi ujian, Allah bagi penyelesaiannya. Allah takkan bagi melainkan hamba-Nya mampu untuk lalui ujian itu. Ada masalah, tak tahu nak buat apa?? Allah suruh mintak kat Allah bukan duduk sorang-sorang mengharap jawapan tergolek macam tu je. Ada masalah buat solat istikharah. Mintak kat Allah, Allah bagi ujian dan Allah sahaja tahu penyelesaiannya. Allah akan ajar macam mana nak lalui ujian ni. Percaya lah" Shafiq memberikan kata semangat kepada Jamil.
Jamil rasa dirinya begitu tak disiakan oleh Allah. Semuanya bersebab. Syukur sungguh rasanya.
"Terima kasih kawan."
"No hal lah." Balas Shafiq.
Sejak itu dia mengamalkan solat sunat istikharah setiap pagi.
Hatinya terdetik untuk jumpa dengan ustaz.
-----
Betul lah apa aku buat, bisik hati Jamil.
"Terima kasih ustaz. Saya mintak diri dulu yee?"
Ustaz hanya mengangguk sahaja.
"Aku akan terus iktikaf masjid lepas ni. Aku berazam." Jamil memberikan kata semangat kepada diri sendiri.
Jamil keluar dari bilik guru dengan perasaan yang sangat puas dan tenang. Jawapan yang dicari telah pun jumpa. Tanpa sedar Jamil terlanggar seseorang apabila cuba memakai kasutnya.
"Ops maaf, tak perasan" Jamil melihat siapa gerangan orang yang terlanggar.
"Hahaha Jamil tak apa, kita kan dah biasa" Shafiq menjawab.
"Laaa Shafiq ke. Kalau aku tahu, aku langgar je terus hehe" usik Jamil.
"Hah, Jamil esok jangan lupa ada mesyuarat BADAR. Esok hari Sabtu" Shafiq mengingatkan Jamil.
"Ouh hehe, aku hampir lupa sebenarnya. Terima kasih sebab ingatkan" Jamil memaut tangannya di bahu sahabatnya. Mereka pun berlalu pergi. Menuju ke kelas.
Begitulah sahabat dunia akhirat. Berkasih sayang kerana Allah.
-----
Sudah menjadi rutin pada setiap hari Sabtu, pelajar asrama akan bermain bola sepak. Tapi berlainan pada Jamil dan Shafiq. Bukan tak mahu sertai tapi ada perkara lain yang perlu diselesaikan.
"Hah, kau dah bersiap ke?" tanya Shafiq.
"Sabarlah, kan sabar tu sebahagian daripada iman?" Jamil sengaja memberi tazkirah pagi dengan nada perlian.
"Yelah Jamil. Kau kalau bersiap macam perempuan" Shafiq berlalu keluar dari dorm.
"Eh, nak pergi mana tu?" Kelam kabut Jamil bersiap.
"Aku gerak dulu sebab kau lambat" Shafiq terus turun tangga dengan sepantasnya tanpa menghiraukan sahabatnya.
"Haduuuuh!" Jamil mengeluh. Tak apa kan sabar pun sebahagian daripada iman kan?, bisik hati Jamil. Jamil pun mengatur langkah keluar dorm menuju ke surau untuk mesyuarat BADAR.
-----
Kelihatan pelajar berjawatan BADAR sedang mengambil duduk masing-masing. Satu bulatan terbentuk yang separuhnya adalah pelajar lelaki manakala lagi separuh adalah pelajar perempuan dengan jarak yang agak jauh juga. Untuk menjaga ikhtilat sebaiknya. Meskipun mesyuarat atau perbincangan yang penting yang melibatkan lelaki dan perempuan tapi ia juga perlu patuh pada syarak.
"Bismillah, assalamualaikum warahmatuhi wabarakatuh" Jamil memulakan mesyuarat dengan ucapan salam menandakan dia menyandang ketua BADAR.
Suara menjawab salam kedengaran walau tak kuat. Masing-masing memberikan perhatian apa yang akan disampaikan oleh pemimpin mereka.
"Baiklah, pertama sekali kita patut panjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, kita masih lagi dapat hidup pada hari ni. Imam Ghazali pernah berkata, sekiranya kita masih lagi dihidupkan sebenarnya Allah nak memberi peluang kepada kita semua untuk bertaubat kepada Allah. Dosa kita terlalu banyak kalau hitungkan. Entah-entah tak terkiran dosa kita semua" mukaddimah yang disampaikan oleh Jamil.
Sudah menjadi kebiasaan mana-mana pendakwah, naqib, murabbi dan pendidik pasti akan memulakan ucapan dengan memuji kebesaran Allah dan menceritakan kebesaran Allah. Kenapa perlu mula dengan memuji Allah? Sebab untuk mendidik hati kita untuk meletakkan kebesaran Allah dalam hati kita dan mengetepikan kebesaran makhluk. Kerana Allah je yang layak untuk kita memuji, besarkan dan memuliakan.
Berlainan pula kelakuan penolong ketua BADAR, Amirah yang kelihatan acuh tak acuh je mendengar ucapan Jamil. Duduk tak senang seolah-olah ada sesuatau yang tak kena.
Jamil perasan perkara ni tapi masih tetap meneruskan mesyuarat tanpa menyoal Amirah kerana mungkin masalah peribadi dan mesyuarat yang penting ni perlu diteruskan. Agenda besar bakal diadakan iaitu Karnival BADAR.
Setelah satu jam lebih bermesyuarat, Jamil memberi peluang secara terbuka kepada sesiapa untuk meluahkan perasaan tak puas hati, teguran dan peringatan sebelum mesyuarat diakhiri.
"Baiklah, sebelum kita akhiri mesyuarat kita hari ni, saya buka peluang kepada siapa nak menyuarakan pendapat atau teguran?" kata Jamil sambil menyusun kertas kerja.
Tangan Amirah perlahan-lahan angkat. Menggeletar. Mukanya masih tertunduk. Semua memandang pelik kepada Amirah.
"Dipersilakan Amirah" Jamil mempersilakan walau di hatinya agak kurang sedap.
"......." Amirah masih berdiam diri. Tangannya digenggam sekuatnya sehinggakan menggeletar. Semua masih tertunggu apa yang ingin diperkatakan oleh Amirah.
"Ehem" Amirah berdehem. Amirah membetulkan kedudukannya. Nafasnya ditarik sedalam-dalam.
"Secara jujurnya, aku tak suka orang yang hipokrit. Di depan mata manusia, segalanya kelihatan sempurna dengan amalan yang dia bawa tapi hatinya sangatlah busuk!!! Langsung tak mencerminkan diri dia sebenarnya!!! Baik kau jujur lah Jamil, kau punya suratkan?" kata Amirah sambil terus mencampakkan surat yang telah renyuk akibat genggamannya.
Surat yang renyuk bergolek di depan Jamil. Semua memandang dengan pelik. Jamil tercengang. Shafiq memandang dengan beribu persoalan. Perlahan-lahan Jamil mengambil surat tersebut dan buka.
"Astaghfirullah" Jamil menggelengkan kepalanya setelah membaca isi surat tersebut.
"Ouh, bila kau baca balik surat kau buat baru nak beristighfar. Bila kau tulis kau tak beristighfar pulak!!? Betapa hinanya kau. Betapa buruknya akhlak kau. Kau sanggup menulis perkataan lucah semata-mata untuk menarik minat aku untuk suka kau!!" Amirah hampir menjerit dalam percakapannya.
Jamil tergemam. Tak faham dengan situasi yang berlaku. Semua ahli BADAR sedang berbisik sesama mereka.
"Anggap aku dah letak jawatan. Aku tak nak terlibat dengan orang yang macam ni!!" Amirah bangun dan meninggalkan kawan-kawannya lain.
"Eh, Amirah tunggu aku" Aqilah bangun mengejar Amirah.
Jamil masih lagi mendiam diri. Apakah semua ini dugaan untuk aku, bisik hati Jamil.
-----
Setelah mesyuarat BADAR diakhiri dengan tasih kafarah dan surah Al-Asr, Jamil terus bergerak ke asrama dengan langkah yang pantas. Shafiq melihat Jamil yang sememangnya sahabatnya dalam masalah.
"Aku tahu bukan kau buat perkara tak senonoh ni" Shafiq membiarkan sementara waktu untuk Jamil bersendirian.
Sampai je di dalam dorm, Jamil perlahan-lahan duduk di atas katil. Jamil menundukkan kepalanya. Tangannya menggenggam erat surat fitnah ke atas dirinya.
"Ya Allah, kenapa banyak sangat ujian Engkau berikan kepada aku? Engkau tak sayang aku lagi ke ya Allah?" Jamil bercakap sendirian.
Bahunya disentuh oleh seseorang. Jamil memandang sebelahnya. Shafiq berada di sisinya. Jamil risau.
"Emm, kau percaya ke yang ni aku buat?" Jamil mengangkat menunjukkan surat tersebut.
Shafiq menarik nafas sedalamnya. Perlahan-lahan nafasnya dihembus keluar.
"Sahabat, sebab tu lah aku ada di sini. Aku tahu kau perlukan semangat untuk terus kuat. Aku tahu kau takkan buat" Shafiq memandang dengan pandangan ikhlas.
Mata Jamil berkaca. Tak terkata. Seolah-olah begitu banyak ujian yang Allah bagi kepada diri dia.
"Jamil" panggil Shafiq. Jamil memandang Shafiq.
"Aku nak tahulah, sebenarnya masalah apa yang kau hadapi sampai jumpa ustaz Aashif? Aku sedia mendengar masalah kau. Manalah tahu aku boleh tolong?" Shafiq memberikan harapan.
"Sebenarnya aku ada masalah dengan ibu ayah. Entahlah, mungkin silap aku. Tapi aku harapnya boleh diselesaikan dengan sebaiknya" air mata Jamil mula mengalir.
Shafiq tak nak bertanyakan apa masalahnya tapi cukuplah sekadar Jamil boleh menceritakan yang di sedang hadapai masalah. Sudah cukup menggambarkan kepercayaan dia terhadap sahabatnya.
"Kalau kau nak tahu, sebenarnya Allah bagi ujian ni bukan untuk melemahkan kita. Allah bagi ujian pun bukan yang kita tak mampu. Allah bagi ujian ni sebagai tanda kasih sayang Allah kepada hambaNya. Kau kena tahu satu perkara bila Allah bagi ujian ni" Shafiq menghentikan kata-katanya seketika.
Jamil berhentikan tangisannya.
"Saat kau ditimpa masalah, dengan siapa kau sandarkan?" Shafiq bertanya.
Jamil terkedu. Mungkin sentap. Seolah terasa hatinya baru ditembak. Barulah dia sedar. Betapa perlunya sahabat dalam hidupnya. Sahabatlah yang akan mengingatkan kepada Allah.
"Aku perlu sandarkan kepada Allah" Jamil jawab dengan yakin.
Shafiq tersenyum.
"Ni lah Jamil yang aku kenal. Ok lah aku pergi prep dulu ye" Shafiq bangun dan berlalu pergi.
'Terima kasih, sahabat' hati Jamil berbisik syukur.
-----
"Wei, kau nampak tak tadi apa yang berlaku?" tanya Said kepada Fikri.
"Hahah nampak la. Kau ingat aku buta ke?" jawab Fikri seakan suka dengan keadaan yang telah terjadi.
"Menjadi gak rancangan kita nak jatuhkan si 'malaikat' tu"
"Tu la pasal, aku ingat tak menjadi tapi terkena gak hahaha" kata Fikri sambil tersenyum puas.
"Aku memang dah lama tak puas hati ngan Jamil tu, acah baik je" kata Said dengan muka tak puas hati.
"Haah, aku ingat tak time kita kena marah sebab solat lambat?" tanya Fikri.
"Uuishh, siapa tak ingat, mestilah ingat wei! Aku malu kot, kena marah. Macam maruah aku kena pijak tu" muka kemarahan Said seakan telah menyala.
"Tu la pasal, bukan tak solat kot. Pergi solat gak kan, cuma lambat tu je" Fikri pun menunjukkan tak kepuasannya lagi.
Fikri dan Said merupakan pelajar tingkatan 4 dan juga merupakan ahli BADAR. Malangnya, mereka mempunyai sifat dendam yang tak bertempat. Apabila nafsu amarah syaitan menguasai diri, pasti ada perkara yang buruk akan berlaku jika tak dikawal dengan sebaiknya. Sebab itulah Islam mengajar kita untuk bersabar.
Jamil marah atas sebab tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin di sekolah sahaja. Tak lebih dari itu.
Fikri dan Said seolah berasa puas atas apa yang telah mereka lakukan. Kepuasan yang tak pernah akan puas kerana nafsu tak pernah hilang dahaganya.
Mereka terus berjalan dengan senyuman yang menyembunyikan sesuatu. Mungkin bakal berlaku kejadian yang tak diingini lagi.
Jamil masih cuba untuk menguatkan dirinya atas apa yang telah berlaku. Dia pasrah segalanya pada Allah.
===========
Ada yang nak sambungan ke?
Cerpen ni tak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati. Watak yang ada bukanlah ada kena mengena dengan yang kita kenal. Kalau ada pun hanya kebetulan je.