Isnin, 6 Jun 2016

Pesta Ibadah Kembali Lagi!



Alhamdulillah syukur pada Allah dengan limpah kurniaNya kita dapat dihidupkan sehingga kita pada hari ni dapat memasuki bulan Ramadhan! Syukurlah sebab tak ramai yang dapat masuk pada bulan yang mulia ni seperti yang mengejutkan kita semua ialah Muhammad Ali yang merupakan seorang ahli gusti professional meninggal pada hari Jumaat, sedangkan lagi 3 hari nak sambut Ramadhan.

Alhamdulillah,Alhamdulillah, Alhamdulillah!

Alhamdulillah juga, sebelum bermulanya cuti sekolah, saya telah menjadi moderator untuk sebuah forum yang diadakan di sekolah saya iaitu SMKA Maahad Hamidiah (saya masuk sini sebab STPM. Ceh, ini pun nak citer haha) bersama seorang ahli panel yang sangat hebat iaitu Prof Muhd Najib Abdul Kadir.

Ustaz Najib daripada Jabatan Pengajian Quran Sunnah, Fakulti Pengajian Islam dari UKM. Juga merupakan salah seorang ahli panel dalam satu rancangan yang cukup famous iaitu Tanyalah Ustaz di TV9. Alhamdulillah saya dapat bersama dengan orang hebat.

Tajuk forum kami ialah Ihya’ Ramadhan. Dalam forum ni kami akan kongsikan dan kupaskan tentang Ramadhan dan macam-macam lagi. Mungkin tak secara keseluruhan forum saya kongsikan tapi untuk mengingatkan kita semua. Nak tahu meh jemput baca selanjutnya.



***


Soalan 1

- Saya :
 Ustaz, kita tak lama masuk Ramadhan yang merupakan bulan yang mulia. Bulan Ramadhan juga bulan yang kita sangat tunggu-tunggu sebab untuk kita berlumba buat ibadah bagi meraih pahala-pahala yang berlipat ganda. Mungkin ustaz boleh berikan serba sedikit pengenalan tentang Ramadhan sebelum kita pergi jauh. Silap, kalau boleh berikan serba banyak bukan sikit hehe.

- Ustaz :
Bila kita berada dalam bulan Ramadhan bermakna Allah memberikan kita satu peluang yang cukup besar. Allah memberi kehormatan kepada yang dapat sambut Ramadhan ni. Sebab orang menyahut seruan puasa ini ialah orang yang beriman dan orang beriman ini Allah angkat darjatnya dengan beberapa darjat.

Apa makna ‘soum’? Soum makna dari segi istiah ialah tahan. Dalam makna yang kita faham menahan diri dari makan, minum, cakap lebih dan sebagainya. Makna dari segi syarak ialah menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Betapa pentingnya untuk kita menghayati puasa kita dalam Ramadhan supaya kita dapat jaga diri daripada perkara yang membatalkan puasa malah menjaga pahala puasa kita semua. Berapa ramai dapat menjaga diri daripada perkara membatalkan puasa tapi berapa ramai yang tak mampu menjaga pahala puasa?

Sebab itulah ada satu hadith nabi, kebanyakkan daripada kita hanya puasa tak dapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga je. Sakit tu, sebab tak dapat apa melainkan lapar dan dahaga. Memang sangat rugi puasa kita kalau tak dapat apa-apa. Sebab itulah jaga telinga kita daripada dengar perkara yang lagha, jaga mulut daripada bercakap perkara yang lagha, jaga tangan daripada buat perkara yang mengurangkan pahala malah boleh membatalkan puasa! Dan sebagainya yang perlu kita jaga.


Soalan 2

- Saya:
Soalan seterusnya ustaz, apa yang digalakkan untuk kita lakukan pada bulan Ramadhan ni?

- Ustaz :
Dalam Ramadhan ni ada 3 perkara yang Rasulullah galakkan iaitu siam (puasa), qiam (bangun malam) dan quran. Kalau boleh dalam Ramadhan inilah kita 24 jam beribadah kepada Allah. Ibadah tak semestinya dengan yang selalu kita sangkakan macam baca quran, solat, sedekah dan sebagainya tapi antara yang lainnya ialah kurangkan cakap yang lagha, muhasabah diri, ajak orang buat baik dan sebagainya.

Jangan kita hanya semangat pada awal sahaja tapi last-last nanti dah sikit je amalan kita. Sepatutnya pada akhir-akhir Ramadhan kita lagi semangat sebab ada Lailatul Qadar. Ini dengan sibuk shopping dan sebagainya. Quran bukan setakat baca sahaja tetapi Allah turunkan lebih dari tu iaitu untuk amal, faham dan sebarkan. Sebab tu sebaiknya kita kena buat kamus quran. Khas untuk kita memahami quran.


Soalan 3

- Saya :
Baiklah ustaz, akan tiba satu malam pada bulan Ramadhan yang sangat istimewa dan malam tu turunnya quran iaitu malam lailatul qadar. Boleh ustaz kongsikan?

- Ustaz :
Lailatul qadar merupakan hadiah terbesar yang Allah kurniakan kepada umat kita. Bayangkan amalan yang kita buat pada lailatul qadar tu umpama 1000 bulan kita buat bersamaan 82 tahun 4 bulan atau kalau genap 83 tahun. Umat Muhammad ni umur pendek tapi ganjarannya untuk amalan macam hidup bertahun-bertahun.

Ada sahabat luahkan perasan kepada rasulullah,

“Beruntung orang dahulu sebab hidup bertahun-tahun, boleh lah buat amal banyak-banyak”

Tapi kita kena ingat, walau kita hidup pendek tapi ganjarannya lebih besar! Sepatutnya kita tertunggu-tunggu malam lailatul qadar. Kita peka dan siasat bila malam lailatul qadar. Bukan bermakna kita nak menentukan tepat lailatul qadar tapi supaya kita rasa seronok nak ibadah.

Kebiasaannya, lailatul qadar ni mengikut ijmak ulamak ialah mengikut bilangan ganjil dan akhir Ramadhan. Siapa yang nak lailatul qadar kena istiqamah buat ibadah sebab kita sendiri tak tahu malam yang tepat lailatul qadar ni. Pastikan dalam Ramadhan kita banyakkan istighfar dan jangan tinggalkan sahur.


Soalan 4

- Saya :
Ustaz, kadang ramai di kalangan kita ni Ramadhan ni je kita semangat sehinggakan ada yang kata “jangan jadi hamba kepada Ramadhan”. Apa pendapat ustaz?

- Ustaz :
Kita adalah hamba kepada Allah dan bukanlah hamba kepada mana-man makhluk yang Allah ciptakan sedangkan mereka juga hamba Allah juga. Tapi kenapa digelar ‘hamba kepada Ramadhan’? Sebabnya kita terlalu semangat untuk buat ibadah pada Ramadhan tapi pada bulan lain tetap macam biasa je. Tak ada perubahan walau selepas Ramadhan.

Kalau nak tahu kita ni hamba siapa? Lihat macam diri kita lepas Ramadhan. Kalau makin ke arah biasa-biasa je maka itu lah jawapannya.


Soalan 5

- Saya :
Ustaz, apakah peristiwa yang penting pada bulan Ramadhan?

- Ustaz :
Antara yang peristiwa penting ialah nuzul quran. Peristiwa ni pun kita sendiri dah tahu tapi adakah kita tahu peristiwa penurunan quran itu? Ok saya nak buka minda semua. Dengar elok-elok (Untuk kalian baca elok-elok)

Nuzul quran (penurunan quran) pada 17 Ramadhan. Nuzul quran yang kita tahu ni pada pertengahan Ramadhan sedangkan kita juga tahu quran turun pada malam lailatul qadar dan lailatul qadar itu pada akhir ramadhan bukannya pada pertengahan Ramadhan. Kita keliru?

Allah turunkan quran dari lukh mahfuz ke langit dunia pada malam lailatul qadar. 17 Ramadhan pula merupakan wahyu pertama kepada Rasulullah ketika dilantik menjadi rasul.
Selain itu, peristiwa yang lain ialah perang Badar yang merupakan peperangan pertama umat Islam ketika sedangkan berpuasa.


Soalan 6

- Saya :
Sebagai penutup, mungkin ustaz boleh bagi nasihat kepada kami semua tentang Ramadhan yang tak lama lagi kita akan sambut ni.

- Ustaz :
Kalau boleh kita sahutlah wasiat Imam Hassan Al-Banna. Iaitu Allah matlamat kita, rasul contoh teladan, Al-Quran sebagai perlembagaan dan mati di jalan Allah itu cita-cita.
Semoga setiap apa yang dikongsikan dapat manfaatnya. Inn shaa Allah sama-sama kita lakukan yang terbaik untuk Ramadhan kali ini. Semoga Ramadhan kali ini memberi makna kepada kita semua inn shaa Allah.



***

Emm, sebenarnya banyak yang dikongsikan oleh ustaz tetapi ini yang mampu saya ingat. Saya bukanlah Imam Syafie nak ingat semua tapi boleh tahanlah apa yang saya ingat ni.

Untuk ini saya Faris Mubeen mengucapkan “Selamat Menjalani Ibadah Puasa Dengan Keimanan” dan “Selamat Berbuka Puasa Dengan Ketaqwaan”.


Moga Allah redha.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...