Kelmarin, saya dengar satu ceramah di surau saya
yang bertajuk tentang Ramadhan. Intipati yang disampaikan oleh ustaz tersebut
sangat bagus dan membuka minda malah menyedarkan diri yang telah lama lalai
hanyut dengan dunia.
Sehinggalah ustaz menceritakan tentang satu hadith
yang sangat mahsyur dan kita sendiri semua tahu hadith tu termasuklah saya. Apa
hadith tu? Ini hadith nya,
“Tdak
sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia
mengasihi diri sendiri”
(H
R Bukhari)
Semestinya sesiapa yang tahu hadith akan kata,
‘Emm hadith ni ke?’
‘Ingat hadith yang penting’
‘Dah selalu dengar dah hadith ni’
Dan pelbagai reaksi masyarakat tentang hadith ni.
Pada mula saya dengar hadith ni yang disampaikan oleh usaz di surau saya tu
telah memberikan tanggapan yang sama juga. Seolah kita ni ‘tahu lebih’ dari
orang yang berilmu.
Apa yang ustaz sampaikan?
Kita selalu memandang masyarakat dengan pandangan
negatif terutama kepada masyarakat yang bermasalah di luar sana. Apabila kita
lihat anak muda merempit, melihat anak muda berzina, melihat anak muda
berpeleseran, melihat anak muda melepak hingga larut malam, melihat anak muda
yang bermasalah ini seolah-olah tempat mereka kelak bukan di syurga.
Seolah mereka ini tiada harapan untuk ke syurga
Allah.
Saudara seagamaku, kita terlalu cepat menghukum
mereka semua dengan pelbagai perkara negatif sehinggakan kita mengeluarkan
kata-kata yang yang negetif seakan-akan mendoakan keburukan mereka semua.
Berdasarkan daripada hadith ni sepatutnya kita sedar
yang mana tugas ini adalah tugas mereka. Apa tugas kita? Menyantuni mereka,
membimbing mereka, menasihati mereka, tegur mereka dengan penuh hikmah.
Betapa pentingnya tugas kita sehinggakan rasulullah
bersabda ‘tak sempurna iman seseorang’. Apakah kita sedar?
Kita selalu menghukum mereka yang berdosa dengan
tomahan, makian, cacian dan menyebarkan keaiban mereka! Semua ini adalah
larangan Allah. Siapa yang berhak menghukum? Adakah kita?
Semua ini adalah tugas Allah bukan tugas kita semua.
Mengapa perlu untuk kita menghukum?
Mata saya mula berkaca apabila saat ustaz mengatakan
“Kita tahu dia bersalah sebab lakukan dosa tu tapi kita suka menyebarkan aib
dia kepada orang lain sehinggakan orang tahu yang dia ni telah melakukan dosa
tu. Sampaikan umur dia meningkat hamper lanjut usia, orang ramai masih tak
mempercayai dia. Sebabnya kita sebarkan aib dia. Bila dia nak berubah kalau
persepsi masyarakat kita begini?”
Saya pernah mengalami zaman gelap, saya pernah
melalui zaman jahiliah, saya pernah merasai perkara yang ustaz katakan.
Alhamdulillah, berkat kesabaran, ketabahan, kekuatan doa, dorongan ibu ayah,
dorongan kawan-kawan dan semua yang mendoakan saya, walau susah tetap perlu
saya harungi demi cinta Allah.
Hadith ni juga telah menyebabkan saya sensitive
dengan beberapa ‘budaya’ anak muda zaman sekarang.
Seperti, mencarut, membahan orang, bangga dengan
dosa, tak tutup aurat, merendahkan kebaikan orang, mengutuk orang dan
sebagainya. Kenapa saya sensitif? Sebab saya nak mereka ke syurga. Saya taknak
mereka ke nereka.
Memang susah kalau nak merubah budaya yang menjadi
sebahagian dalam hidup kita tapi kita perlu berubah. Kita sebagai kawan dia,
sebagai saudara kita, tak kira sama ada kenal atau tak sama-sama kita buat
kerana Allah.
Kadang sedih hati ni. Kadang sayu hati ni. Saya
lihat kadang membahan orang ni boleh buat ‘majlis’ dah sebab ramai-ramai kumpul
dan bahan orang. Allah!
Bila kita tegur mulalah kondem kita. Kita nak
sama-sama ke syurga sebab kita nak mereka ni sama beriman dengan kita! Hadith
ni sangat besar maknanya sekiranya kita faham betul-betul.
Jom kita terjah dengan lebih mendalam lagi. Harap
kalian semua dapat baca dan sebarkan inn shaa Allah.
Bila Tegur, Terasa Pulak?
Saudara yang dicintai Allah sekalian, dalam
berdakwah pasti akan ada yang terasa dengan teguran kita. Sememangnya inilah
adat berdakwah tetapi bergantung juga dengan cara kita.
Sekiranya cara teguran kita dengan kasar maka tak hairanlah kalau dia lagi membenci kita sebab kita buat tak hikmah.
Sekiranya cara teguran kita dengan santai dan berhemah tak hairanlah kalau dia tak suka kita juga sebab ego untuk terima nasihat.
Inilah adat dakwah tapi pilihlah yang hikmah dan sesuai. Apa yang saya nak sampaikan juga ialah adat juga sekiranya dia terasa atau rasa sentap. Apabila dia terasa bermakna dia pernah buat maka perlulah dia berubah ke arah yang lebih baik dan terima nasihat tersebut.
Sebenarnya kita semua perlu tahu melakukan dosa itu adalah satu kezaliman terhadap diri kita sendiri. Ya, satu kezaliman!
Kenapa zalim? Secara fitrahnya sepatutnya kita bersama ingat kepada Allah dan bukannya normal dengan suasana yang menambahkan dosa. Pastikan kita semua tanam dalam hati untuk tegur, untuk nasihat, untuk membimbing dan untuk menyantungi mereka.
Biarlah mereka benci kita sedangkan kita sayang mereka kerana Allah. Kita telah menjalankan kewajipan kita itu satu pelaksaan yang perlu kita lakukan. Bukan setakat judge orang tapi kita tak nasihatkan dia lagi, ini cara salah malah menambahkan dosa kita je.
Ukhwah bukan atas asbab bersama tapi asbab keimanan. Sebagai contoh majlis ‘membahan orang’ itu kita bersama tapi majlis yang merendahkan orang, menghina orang, mengutuk orang dengan alasan untuk ‘berseronok’ dan bila bersama sebegini sudah dikatakan ukhwah.
Tanggapan ini salah.
Perkara inilah yang saya perasan pada zaman sekarang. Dosa tetap dosa wahai kawan sekalian.
Kita rasa mencarut tu macam perkara biasa.
Kita rasa bercakap benda lucah tu macam perkara
biasa.
Kita rasa membahan orang tu macam perkara biasa.
Senang cerita hamper setiap perkara kita nak main-main hatta solat pun sama! Bukan ke ni satu penyakit hati yang sangat kronik tahap 4?
“Wei, aku nak tanya kau pernah melancap tak?” tanya kepada kawannya yang macam baik tanpa rasa bersalah.
Dosa bukan untuk dibanggakan tapi sepatutnya kita sedar lama-lama kelamaan kita akan berasa ‘bahagia’ dengan dosa sedangkan kita hanya bertopengkan ‘ketenangan’ yang menipu diri sendiri!!
Seolah-olah aib diri kita tonjolkan kepada orang lain. Bukan ke ni satu tindakan yang kurang bijak?
Muhasabah diri sama ada kita sudah menjalankan kewajipan ini atau belum?
Soal Hati, Hanya Allah Yang Tahu
Kita semua takkan terlepas dengan dunia jahiliah kita. Semua ada sejarah tersendiri. Kita semua ada kisah silam yang menghantui hidup kita. Kita semua patut sedar sejarah adalah sejarah maka kenapa kita mencipta sejarah baru?
Biarlah orang judge kita macam-macam sebab kita dah buat dosa macam-macam tapi adakah orang tahu soal hati kita?
Satu kisah di mana pada zaman rasulullah terdapat seorang sahabat rasulullah yang tak boleh berhenti minum arak. Walau sudah disebat berkali-kali masih tetap minum arak sebab memang susah nak berubah.
Sehinggakan ada segelintir para sahabat menghina, mencaci dan mengutuk sahabat yang minum arak tu. Apabila sampai ke pengetahuan rasulullah maka rasulullah bersabda, “Aku tahu dalam hatinya masih mencintai Allah!”
Semua sahabat terdiam dan tak berani mengutuk bahkan sahabat yang minum arak tu dengar terus berubah kerana merasai kasih sayang seorang sahabat, merasa diri dibelai dan merasa diri disupport.
Sebab itulah hadith ni kita patut pegang dalam kehidupan seharian kita semua.
Sekiranya kita dah berubah, kuatkan hati dan tabahkan hati untuk istiqamah dalam dunia hijrah! Sememangnya cabaran amat dahsyat. Ini yang saya boleh gambarkan.
Dengan tomahan, dengan kata-kata, dengan cacian, dengan makian, dengan kutukan yang sebenarnya kalau kita tahu memang akan futur dan lemah semangat. Oleh itu jangan pedulikan semua berita-berita yang kita dengar. Teruskan melangkah!
Pernah suatu ketika, saya menangis kerana kenangkan pelbagai cabaran yang rasa memang tak boleh nak pikul. Janji Allah bukan palsu, itu yang saya pegang.
Kita lihat orang menasihati kita seolah-olah bagus macam bajet diri alim padahal kita tak tahu sejarah jahiliah dia. Atas asbab dia pernah lalui maka dia tak nak orang lain melalui perkara yang sama pernah dia lalui dan merasai betapa peritnya dosa itu.
Siapalah kita nak judge orang lain dengan pandangan kita yang serba kurang ni. Kalau kita nampak memang dia bersalah, jangan mula untuk judge tapi ajaklah untuk cakap dengan santai dengan dia.
Berimankah Kita?
Janganlah pernah merasa puas dengan amal kita.
Jangan sesekali merasa puas dengan amal kita. Sebab dengan merasa puaslah kita
akan judge orang lain, merasa diri bagus dari orang lain, tak layak untuk
ditegur dan merasa dah komfem syurga.
Tak hairanlah kalau rasulullah bertaubat sebanyak 70
kali sehari. Tak hairanlah kalau rasulullah solat di malam hari sehingga
bengkak kaki.
Kita patut sedar yang kita bukanlah maksum. Bukanlah
malaikat. Sebab itulah kita perlu diingatkan setiap hari bahkan setiap masa
supaya kita selalu beringat nak buat sesuatu. Jaga amal kita sebaiknya
lagi-lagi kita nak sambut Ramadhan ni.
Jangan pernah putus asa dengan rahmat Allah. Sentiasalah
memohon agar diberi kekuatan untuk berubah supaya kita tak judge orang sesuka
hati, berubah supaya dapat tinggalkan jahiliah kita, berubah supaya kita
menjadi lebih baik.
Wahai kawan ku sekalian, biasakan yang betul,
betulkan yang biasa. Jangan kita jadikan kesalahan kita satu benda yang ‘perlu’
dalam hidup kita. Jangan kita judge orang lain dengan kesalahannya sedangkan
kita tak bimbing dia pada mulanya.
Maaf sekiranya rasa penulisan ni agak kasar dan rasa
macam menyampah nak baca haha. Kalau
bermanfaat boleh sebarkan. Semoga kita semua dapat manfaat.
Sejauh mana kita sahut seruan hadith ni. Sekali lagi
tanya pada diri kita, berimakah aku?
“Sesungguhnya
orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua
saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat”
(Surah
Al-Hujarat : ayat 10)
“Kadang sedih hati ni. Kadang sayu hati ni. Saya lihat kadang membahan orang ni boleh buat ‘majlis’ dah sebab ramai-ramai kumpul dan bahan orang. Allah!Bila kita tegur mulalah kondem kita. Kita nak sama-sama ke syurga sebab kita nak mereka ni sama beriman dengan kita!”
-Faris Mubeen-